Latest News

Adi Putra: Isteri Bijak Akan Dapat Hadiah


MENJADI suami kepada dua isteri, Aida Yusof, 42, dan Norshahida Zolkifly, 33, adalah satu tanggungjawab yang besar buat aktor Adi Putra, 36.

Jika silap langkah, bintang filem KL Gangster ini tahu pasti dirinya akan dipersalahkan kerana tidak berlaku adil sepanjang berpoligami dan mengepalai dua institusi keluarga dalam satu masa.

Oleh itu, Adi meletakkan syarat kepada kedua-dua isterinya agar membantu dirinya bersikap saksama sekaligus melancarkan komunikasi supaya tidak timbul lagi salah faham di kemudian hari.


Syarat yang dipertahankan itu juga dibuat bagi mengurangkan cerita buruk membabitkan kontroversi perkahwinan keduanya dan apa saja berkaitan cerita peribadinya sebelum ini.

“Kalau nak hidup bahagia dengan Adi Putra, syaratnya mudah, mereka berdua perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada saya. Saya perlu menjadi subjek utama mereka.

“Jika kebanyakan pasangan yang sudah berkahwin, golongan isteri yang diberi perhatian tetapi untuk perkahwinan ini, perkara sebegitu tidak berlaku dalam rumah tangga saya.

“Syarat itu perlu dituruti supaya selepas ini tiada lagi cerita-cerita yang buruk membabitkan rumah tangga saya. Siapa yang bijak meraih perhatian saya bakal mendapat hadiah istimewa. Apa hadiahnya? Hanya kami bertiga saja yang tahu,” kata Adi mendedahkan rahsia kerukunan rumah tangga selepas mengamalkan poligami pertengahan tahun lepas.

Secara tidak langsung, keadaan sebegitu akan membuatkan alam rumah tangga Adi saban hari semakin menyeronokkan kerana macam-macam keletah yang dipamerkan sepanjang menjayakan misi tersebut.

Sebenarnya Adi memberi kepercayaan yang penuh kepada kedua-dua isterinya untuk memperbaiki hubungan sedia ada. Dengan cara itu, mereka bebas berbincang mengikut pertimbangan masing-masing.

Terjun bidang politik

DALAM kesibukan tuntutan kerja sebagai pelakon dan menguruskan syarikat pakej umrah miliknya sendiri, Hadid Travel & Tours, Adi juga pernah terfikir menceburi bidang politik yang dilihat lebih mencabar kepimpinannya.

Dengan pengaruh dan kredibiliti yang dimiliki, kriteria berkenaan juga mendorong Adi untuk menambah satu lagi cabang kerjaya dalam dirinya selama ini.

“Perkara ini masih terlalu kompleks untuk dibicarakan lanjut. Semua ini juga adalah di luar kemampuan kerana saya tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa depan.

“Tak salah jika mahu mencuba bidang baharu tapi biarlah keadaan itu berlaku tepat pada masanya. Sekarang ini fokus saya adalah pada keluarga.

“Kalau dah setel semuanya, barulah saya boleh berfikir dengan tenang dan merancang apa yang terbaik buat keluarga pada masa depan.

“Lagipun tanggungjawab sebagai ahli politik kepada pengikutnya sangat berat. Saya tak nak salah langkah hingga dipersoalkan kembali kepimpinan saya itu nanti,” ujar pelakon drama Dia ini lagi.